Oleh: Dr. Takiah binti Iskandar
Semester II 2000/2001
Usia Program Ijazah Sarjanamuda Perakaunan di Fakulti Pengurusan Perniagaan genap 22 tahun pada bulan Mei 2001 ini. Tempoh ini sudah cukup panjang untuk kita menilai semula keberkesanan hasilnya. Di peringkat permulaan program ini ditawarkan, Fakulti menghadapi kesukaran mendapat bilangan pelajar yang cukup. Rata-rata pelajar tidak mahu mengikuti program perakaunan. Alasan yang biasa diutarakan oleh pelajar ialah program ini sukar untuk lulus. Pelajar cenderung memilih bidang pengajian yang pada tanggapan mereka lebih mudah lulus. Faktor yang diutamakan dalam pemilihan bidang pengajian ialah kepastian pelajar memperolehi ijazah di akhir tempoh pengajian. Alhamdulillah, dengan pelbagai usaha yang dijalankan Fakulti tidak lagi menghadapi masalah mendapatkan bilangan pelajar yang cukup dan yang mempunyai kelayakan
masuk yang baik.
Kini bilangan pelajar perakaunan ialah seramai 669 iaitu sebanyak 42.5% daripada jumlah keseluruhan pelajar ijazah pertama di Fakulti. Setakat ini Fakulti telah melahirkan graduan perakaunan seramai 1947 orang. Fakulti berbangga dengan pencapaian para
graduan dan prestasi kerjaya mereka masing-masing.
Namun, wajarkah kita berpuas hati dengan pencapaian yang lepas? Bolehkah para majikan menjanjikan bakal graduan perakaunan ini pekerjaan? Atau perlukah graduan perakaunan Fakulti ini bimbang dengan persaingan hebat yang menantikan apabila mereka keluar mencari pekerjaan? Persoalan-persoalan seperti ini seharusnya sentiasa difikirkan oleh para pelajar dan menjadikannya sebagai rangsangan untuk mendorong mereka membuat persiapan yang cukup dan lebih lengkap sebelum mereka keluar ke alam kerjaya. Kita tidak mahu para pelajar berlagak sebagai jaguh kampung yang gagah waktu dalam kampus sendiri dan tidak boleh bertahan menerima kejutan persaingan dalam gelanggang yang lebih besar. Pelajar perlu menerima hakikat bahawa persaingan yang mereka hadapi datang dari para graduan dari institusi pengajian tinggi yang lain termasuk IPTS, IPTA dan dari luar negara.
Saya kira sudah sampai masanya penilaian diri dilakukan untuk mengetahui setakat mana pelajar telah melaksanakan tanggungjawab pada diri masing-masing di dalam membuat persediaan untuk memenuhi keperluan negara dengan mengambilkira perkembangan semasa. Walau pun bilangan IPTA dan IPTS meningkat di samping kelulusan daripada luar negara, kita harus melihatnya sebagai satu perkembangan yang sihat. Dengan menyedari keadaan ini, setiap institusi pengajian tinggi akan sentiasa mengawal dan memantau mutu program perakaunan masing-masing supaya ianya sejajar dengan tahap pengiktirafan yang ditetapkan oleh profesyen perakaunan ini sama ada di peringkat kebangsaan atau antarabangsa.
Saya ingin mengajak kita semua merenungi beberapa isu semasa yang saya anggap penting kerana ia mempunyai kesan langsung atau tidak langsung kepada pelajar perakaunan dalam melengkapkan diri untuk menghadapi hari depan mereka.
Pengiktirafan Badan Profesional
Sebagaimana yang diketahui umum Ijazah Sarjanamuda Perakaunan dari 6 IPTA tempatan (UKM, UM, UUM, USM, UPM, UIA dan UiTM) telah menerima pengiktirafan penuh dari Institut Akauntan Malaysia (MIA) seperti yang terkandung dalam Akta Akauntan 1967. Ini bermakna graduan perakaunan daripada universiti tersebut yang mempunyai pengalaman bekerja tiga tahun layak memohon menjadi ahli MIA. Keahlian ini perlu untuk menjadi akauntan. Pengiktirafan ini tentunya diberikan setelah MIA menilai kurikulum yang ditawarkan oleh universiti tersebut dan tenaga pengajarnya disamping penampilan yang diberikan oleh para graduan yang dihasilkan.
Namun demikian dengan pengiktirafan yang telah diberikan oleh MIA ini, pelajar perakaunan tidak seharusnya selesa sehingga lupa bahawa mereka mempunyai tanggungjawab untuk mengekalkan kedudukan ini. Pihak MIA sentiasa memantau dengan menilai prestasi graduan perakaunan samada mencapai tahap yang diharapkan oleh profesyen. Prestasi pelajar sebenamya mencerminkan kewibawaan program perakaunan yang dilalui oleh para graduan tersebut.
Walau pun sudah termaktub dalam Akta, kemungkinan MIA membuat usul untuk menarik balik pengiktirafan tersebut boleh berlaku sekiranya graduan perakaunan tidak berjaya menampilkan prestasi yang boleh dipertahankan. Kemungkinan ini boleh dengan berlakunya usaha MIA yang mencadangkan pindaan dibuat terhadap Akta Akauntan 1967 dalam tahun 1999 untuk tujuan tersebut. Tetapi usaha tersebut telah tidak diteruskan. Pelajar perakaunan harus mengambil iktibar daripada kejadian ini dan berusaha memperbaiki diri. Para pelajar harus menyedari bahawa program perakaunan ini adalah program yang bertaraf profesional yang pengiktirafannya tertakluk pada penerimaan badan profesional.
Kekurangan Bilangan Akauntan
Sebagaimana dinyatakan di atas, ijazah Sarjanamuda Perakaunan mendapat pengiktirafan terus daripada MIA. Ini bermakna bilangan akauntan di negara ini boleh ditingkatkan sekiranya bilangan graduan perakaunan meningkat. Namun demikian kekurangan bilangan akauntan di negara ini masih terus wujud. Menurut statistik, nisbah akauntan bagi setiap 10,000 populasi hanya 5 orang berbanding dengan negara lain seperti Singapura (48), UK (37), Australia (41), Hong Kong (24)(NST Mac 1991). Angka di Malaysia ini adalah sangat kecil berbanding dengan angka di negara lain. Bilangan ini juga masih terlalu rendah berbanding dengan bilangan akauntan yang diperlukan oleh negara ini, yang memerlukan 38,000 orang akauntan menjelang tahun 2003, 49,000 tahun 2010 dan 79,000 tahun 2020 (2nd IMP 1996-2005).
Persoalannya, siapakah yang perlu dipertanggungjawabkan dengan perkara ini? Patutkah fakulti dipersalahkan? Sebenamya jambatan telah pun dibina yang menghubungkan antara kelayakan perakaunan IPTA yang dinyatakan di atas dengan profesyen perakaunan. Para graduan perakaunan boleh melaluinya untuk sampai kepada matlamat sebagai seorang akauntan. Namun, statistik yang ada jelas menunjukkan sambutan graduan perakaunan terhadap peluang ini masih terus dingin. Menurut statistik lagi (MIA, 1999), sejak Akta Akauntan 1967 digubal, bilangan akauntan bumiputra hanya mencecah 15% dan angka ini adalah jauh lebih rendah daripada harapan kerajaan untuk memenuhi 30% kuota akauntan bumiputra di negara ini. Kalau para pelajar perakaunan masih enggan melihat perkara ini sebagai cabaran yang periu mereka garap, keadaan ini akan menjadi semakin buruk. Ini bermakna usaha dan hasrat universiti untuk melahirkan
akauntan yang mencukupi dan berkaliber akan gagal.
Hasil tinjauan yang dibuat melalui projek pelajar terhadap pelajar perakaunan di fakulti ini menunjukkan bahawa pelajar menghadapi dilema dalam pemilihan kerjaya. Antara sebab utama mereka tidak memilih kerjaya akauntan ialah kurang keyakinan diri, faktor tekanan kerja, kekurangan insentif berbentuk kebendaan dan tiada kesungguhan minat. Yang paling menyedihkan ialah pelajar mengikuti program perakaunan ini atas desakan ibu bapa yang mahu melihat menunjukkan kepada masyarakat setempat bahawa anak mereka berjaya menjadi bakal akauntan. Kalau perkara ini, hasrat dan cita-cita fakulti akan tidak kesampaian. Adalah ini bererti usaha institusi pengajian tinggi mengeluarkan graduan perakaunan yang betul-betul mempunyai ciri-ciri seorang akauntan belum berjaya?
Alasan yang diutarakan oleh para pelajar itu memang benar. Namun pengorbanan dari segi pulangan kebendaan dan beban kerja yang banyak itu adalah untuk tempoh jangka pendek. Hasil pengorbanan itu akan hanya dinikmati dalam tempoh jangka panjang. Perkara seperti ini berlaku dengan mana-mana juga bidang profesional yang lain yang memerlukan tempoh yang agak lama untuk membentuk kepakarannya. Dalam tempoh ini, banyak pengorbanan yang diperlukan. Kegagalan pelajar perakaunan melalui tempoh ini mencerminkan tahap ketahanan dan jati diri mereka yang rendah. Memang banyak faktor luaran yang boleh dipersalahkan yang dijadikan punca utama masalah itu timbul.
Cabaran Globalisasi
Selaras dengan perkembangan semasa yang semakin kompleks, graduan perakaunan akan berhadapan dengan persekitaran yang terdedah dengan pembangunan yang pesat baik dalam teknologi komunikasi maklumat dan perdagangan tanpa sempadan. Keadaan ini memberi kesan langsung kepada profesyen perakaunan. Ini bermakna para akauntan perlu dilengkapi dengan pengetahuan, kemahiran teknologi, komunikasi, pengurusan dan etika mulia serta jati diri yang tinggi. Kebolehan akauntan menjalin hubungan antara manusia dengan penuh keyakinan merupakan senjata utama untuk mereka lebih berjaya.
Dalam menghadapi cabaran seperti itu, fakulti boleh membantu pelajar membuat persediaan untuk menghadapi dunia kerjaya ini. Fakulti menyediakan kurikulum, sistem pembelajaran dan latihan yang seharusnya mampu mengeluarkan akauntan yang berkualiti dan berkeupayaan memenuhi kehendak masyarakat dan negara. Tetapi akhimya, pelajar sendiri yang akan menempuhnya dan bertanggungjawab kepada diri mereka untuk menentukan kejayaan mereka seterusnya. Kita tidak boleh menahan pembangunan dunia yang sedang berlaku. Yang harus dilakukan ialah menyediakan diri untuk mengambil bahagian dalam perkembangan tersebut. Apa yang perlu dilakukan ialah membina ketahanan baik dari segi kekuatan mental atau fizikal, kekukuhan ilmu dan kemurnian jiwa.
Saingan Dari Kelayakan Luar Negara
Hari ini graduan perakaunan perlu bersaing bukan hanya sesama sendiri tetapi juga dengan para graduan daripada institusi pengajian tinggi dalam negara, samada dari IPTA atau IPTS, tetapi juga graduan badan profesional tempatan. Yang paling penting ialah mereka perlu bersaing dengan graduan universiti dan badan profesyenal daripada luar negara. Satu unsur yang graduan luar negara ini dikatakan melebihi graduan tempatan ialah kebolehan berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. Tetapi adakah ini menghalang graduan tempatan berprestasi dengan lebih baik berbanding dengan graduan luar negara?
Hasil satu tinjauan yang dijalankan ke atas kakitangan audit salah sebuah 5 firma besar audit dan sebuah firma audit tempatan yang besar menunjukkan bahawa secara keseluruhan hampir 60% jumlah pekerja di jabatan audit firma tersebut adalah graduan daripada luar negara. Hanya lebih kurang 28% sahaja daripada mereka adalah graduan universiti tempatan. Bakinya adalah graduan badan profesional. Peratusan yang tinggi di kalangan graduan luar negara ini menduduki semua peringkat jawatan termasuk rakan kongsi, pengurus, 'senior' dan staf audit biasa.
Seterusnya, berdasarkan penelitian yang dibuat dalam kajian ini terhadap polisi pengambilan pekerja audit, beberapa ciri utama yang digunakan sebagai kriteria dapat dikenalpasti. Firma audit memilih calon yang terbaik untuk memastikan mereka memenuhi keperluan yang dikehendaki oleh firma. Di antara ciri-ciri yang ditetapkan termasuk pencapaian akademik yang cemerlang, aktif dalam kegiatan ko-kurikulum, sikap yang mengutamakan integriti, bercita-cita tinggi, cerdik, berdisiplin, dedikasi, inovatif, fleksibel, suka terus belajar dan mementingkan prestasi cemerlang. Layakkah pelajar perakaunan bersaing? Ini memang tidak mustahil. Setiap pelajar perakaunan mempunyai potensi yang cukup tinggi. Hanya yang perlu dilakukan ialah membentuknya mengikut acuan yang kita mahukan. Secara sedar, para pelajar dan fakulti harus meletakkan ciri-ciri yang dinyatakan itu sebagai ‘benchmark’ matlamat yang perlu dicapai. Dalam hal ini semangat perjuangan yang perlu diwujudkan dalam diri semua pelajar merupakan aset utama untuk mencapai matlamat tersebut.
Sebagai kesimpulan, perjuangan kita belum selesai. Di samping mengekalkan kedudukan yang telah ada, kita masih perlu memperbaiki diri. Letakkan matlamat kita mengikut perspektif yang betul. Para pelajar yang menjadi akauntan negara. Dengan menyedari hakikat ini pelajar seharusnya membentuk diri dari sekarang untuk mempunyai sifat sebagai seorang akauntan yang sebenar-benarnya. Perlajar perlu bersifat jujur dan ikhlas kepada diri sendiri. Sebagai bakal akauntan pelajar perakaunan tidak boleh bersifat lemah dan mudah menyerah serta mengalah. Iltizam yang dipupuk untuk disumbangkan kepada
negara dalam bidang kepakaran masing-masing merupakan amal yang paling agung dalam usaha memartabatkan bangsa dan agama.
kredit : Dr. Takiah