Komunikasi sesama kita merupakan salah satu seni pembinaan personaliti. Ia termasuklah komunikasi ringkas dengan kawan-kawan dan rakan sekerja yang biasanya membawa impak yang besar kepada hati insan yang mendengarnya.Fokus artikel kali ini adalah alternatif-alternatif yang berkesan yang dapat kita aplikasikan dalam kehidupan seharian lebih-lebih lagi ketika berkomunikasi dengan orang lain.
Selalunya apakah antara ayat-ayat yang kita akan gunakan sekiranya kita mahu meminta pertolongan daripada orang lain atau sekiranya kita ingin meminta tolong dia seseorang membuat sesuatu?
Kebanyakan dari kita , tanpa disedari, selalu mengucapkan dialog tanpa kita fikir kesannya terhadap orang lain, kerana cara itu sering menjadi tabiat kita dari hari ke hari.
Contoh ayat suruhan: Saya nak awak selesaikan minit mesyuarat semalam.
Cara Alternatif: Saya nak minta tolong /perlukan pertolongan awak siapkan minit mesyuarat semalam untuk edaran segera.
Di dalam penyataan ini, kita masih menyatakan kita minta dia melakukan sesuatu(dengan nada yang baik dan bersopan) walaubagaimanapun dalam masa yang sama, kita memberitahunya kenapa ia perlu disiapkan atau dilaksanakan. Kebanyakan kita hanya tahu menyuruh orang lain membuat itu dan ini, tapi kita lupa memberitahu mereka kenapa perkara tersebut perlu dilakukan. Ini menyebabkan, orang lain kadang-kadang berada dalam keadaan kabur dan tidak mengerti permintaan kita.
Jika kita sebagai ketua didalam sebuah organisasi, tidak salah sekiranya kita menggunakan kedua-dua frasa di atas, namun frasa yang kedua lebih menampakkan sikap anggun atau berhemahnya kita dalam meminta tolong seseorang melakukan tugas. Tapa disedari kita dapat mendidik orang bawahan kita melakukan perkara yang sama terhadap orang lain. Akhirnya aura berhemah ini akan berkembang di sekeliling kita.
Dalam situasi kita menunggu email atau surat daripada seseorang. Kita sering bertanya mereka dengan soalan-soalan sepeti ini:
Contoh: Dah hantar ke email ke? / Kenapa tak hantar lagi?
Dalam keadaan begini kita meletakkan kesalahan kepada orang lain. Sekiranya benar mereka sudah menghantar email tetapi ada masalah teknikal, pasti mereka tersinggung dengan pertanyaan mengapa dan kenapa.
Oleh itu, sebagai alternatif kita boleh cuba bertanya begini:
Saya masih belum terima email yang dijanjikan ... ( ayat seterusnya)
Dalam keadaan kedua, kita merujuk kepada masalah kita iaitu dengan memahami dan membuat sangkaan bahawa mungkin dia telah menghantar dan berlakunya masalah teknikal dan bukannya menuduh orang lain walaupun benar dia masih tidak menghantar email itu kepada kita.
Dengan cara ini, sekiranya benar dia sudah menghantar email, dia akan memberi respon yang responsif dan bukannya defensif. Namun, sekiranya dia masih belum menghantar email tersebut, dia akan segera melakukannya kerana dia dengan sendirinya menyedari bahawa kelambatan dia telah menyebabkan orang lain tertunggu-tunggu.
Ini merupakan cara teguran yang dapat membina personaliti seseorang dengan lebih baik di dalam komunikasi.
Kurangkan bertanya mengapa dan kenapa di dalam komunikasi kecuali kita mahu menghukum seseorang dalam keadaan yang seadilnya, ianya (pernyataan pertama) memang wajar digunakan.
Sentiasa berfikir sekiranya mahu berbicara, dan selalu merujuk ayat itu kepada kita sebelum kita melafazkannya. Dengan berlatih, penguasaan komunikasi akan menjadikan kita lebih berhemah.Usahlah kita sering mencari kesalahan orang lain tetapi gunakanlah pendekatan-pendekatan positif agar dapat memberikan impak yang lebih baik kepada masyarakat.
"Practice makes perfect".
Sumber imej : Google Image
-Artikel Iluvislam.com
No comments:
Post a Comment