Forum Remaja Buka Persoalan Cinta, Jodoh dan Syurga




Cinta, jodoh dan syurga. Hal ini sering menjadi persoalan yang sentiasa bermain di minda remaja. Ramai sekali muda-mudi yang hidup dalam dilema mengenai jodoh.

Jodoh seperti rezeki, ia telah ditentukan. Namun, kita tidak tahu apa yang telah ditentukan oleh Allah. Dengan berpegang pada hakikat itu kita diperintahkan-Nya agar berusaha.

Pastinya setiap daripada kita mengingankan jodoh yang diberkati dan membimbing tangan kita menuju syurga Allah yang hakiki.

Carilah jodoh yang baik, carilah rezeki yang baik dengan jalan yang baik juga. Siapa jodoh kita? Berapa banyak rezeki kita? Dan bila? Itu bukan kerja kita. Itu ketentuan Allah. Milik kita hanya usaha.

Jadi, berusahalah dengan baik, Allah pasti tidak akan mengecewakan kita. Wajib menerima takdir tidak menolak kewajiban untuk mentadbir.

Bagi menghuraikan lanjut mengenai persoalan kehidupan yang berlegar dalam jiwa dan minda individu, Kolej Kediaman Tun Syed Zahiruddin Universiti Malaya membawakan program Cinta, Jodoh dan Syurga kepada mahasiswa-mahasiswa Universiti Malaya serta penduduk sekitarnya.

Melalui ahli panel terkemuka, Ustaz Pahrol Mohd Juoi, Ustazah Zawiah Hassan dan Prof. Dr. Muhaya Mohamed, program ini dapat memberikan dunia dan pemikiran baru kepada remaja mengenai persoalan cinta.

Majlis yang dipengerusikan oleh Ustaz Rohidzir Rais ini bakal membuka minda dan jiwa remaja mengenai persoalan cinta dalam kehidupan.

Tidak ketinggalan wakil iluvislam turut membuka pendaftaran Konvensyen Bidadari Dunia 2012 yang berlangsung pada 24 dan 25 Mac ini.

Kepada penduduk sekitar Petaling Jaya dan mahasiswa Universiti Malaya, jangan ketinggalan memeriahkan Minggu Penghayatan Islam (MPI) melalui forum Cinta, Jodoh dan Syurga ini. Temui kami di Kolej Kediaman Tun Syed Zahiruddin, Universiti Malaya pada 8 Mac 2012 bermula dari jam 9 malam ini.

- Artikel iluvislam.com

No comments: