Dia Imamku’ menampilkan Aeril Zafril yang memegang watak Kamal, merupakan seorang jejaka tampan dan warak. Namun, akibat hasutan syaitan, dia telah berlaku curang terhadapa isteri tercintanya sehingga berlakunya perkara yang tidak diingini!
Apakah kejadian yang tidak diingini itu? Semuanya bakal terjawab dalam telefilem ‘Dia Imamku’ yang akan disiarkan sempena Maulidur Rasul pada hari Khamis, 24 Disember 2015 ini pada jam 10.00 malam di TV3 ini. Aeril Zafrel turut bergandingan dengan dua bintang yang semakin melonjak nama iaitu Tunku Hanis (Nelly) dan Sarah Hildebrand (Munirah). Sebuah karya Primeworks Studios dibawah arahan saudara Raja Ahmad Alaudin, telefilem ini juga turut dibantu oleh Rosnah Johari, dan Hafizul Kamal.
Kisah bermula dengan Kamal yang lebih dikenali sebagai Kamal 13th Floor yang tinggal di tingkat 13, menjadi kegilaan gadis-gadis di residen tersebut. Sungguhpun memiliki wajah tampan yang mampu memikat setiap gadis di apartmen tersebut, Kamal sebenarnya berpegang teguh pada ajaran Islam.
Nelly (Tunku Hanis), merupakan seorang gadis liar sering terserempak dengan Kamal. Dia cuba sedaya upaya memikat Kamal tetapi Kamal lebih tertarik dengan rakan Nelly iaitu Munirah (Sarah Hidebrand) yang bertudung.
Nelly sering meminta Munirah untuk menemannya apabila keluar bertemu Kamal. Tanpa disedari, dada Munirah begitu kencang setiap kali memandang Kamal tetapi Munirah tidak mahu merampas lelaki idaman rakan karibnya. Semenjak itu, Munirah mencuba untuk mengawal perasaannya setiap kali menemani Nelly bertemu Kamal sehingga satu hari Kamal ingin bertemu Munirah bersendirian. Ketika pertemuan itu, Kamal berjaya meyakinkan Munirah bahawa dia tidak mencintai Nelly, malah hatinya terpaut pada Munirah.
Tidak lama selepas meluahkan perasaannya, Kamal dan Munirah meminta restu percintaan mereka daripada Nelly. Nelly kelihatan keberatan untuk merestui percintaan mereka dan mula berdendam kepada Munirah. Dendam itu semakin parah apabila Munirah sering bercerita tentang Kamal kepadanya dan mereka akan berkahwin tidak lama lagi.
Setelah setahun Kamal dan Munirah berkahwin, Munirah akhirnya melahirkan seorang bayi perempuan yang dinamakan Nabila dan berpantang di kampung halamannya, meninggalkan Kamal di bandar. Termakan bisikan syaitan, Nelly mengambil peluang keemasan ini untuk merampas semula Kamal daripada Munirah dengan memerangkap Kamal untuk menidurinya.
Hancur lebur hati Munirah tatkala mengetahui suaminya mempunyai hubungan sulit dengan rakan karibnya. Suasana rumahnya amat tegang dengan adegan tikam lidah antara Munirah dan Kamal sehingga Kamal tidak percaya apabila mulutnya melafazkan kata
“…aku ceraikan kau Munirah Malik dengan talak satu..”
Puaskah hati Nelly yang berjaya merobohkan masjid Kamal dan Munirah? Adakah jodoh Kamal dan Munirah terhenti disitu sahaja? Saksikan telefilem “Dia Imamku”, Khamis ini, 24 Disember 2015 pada jam 10.00 malam sempena Maulidur Rasul untuk mendapatkan jawapan bagi persoalan-persoalan itu.
No comments:
Post a Comment